Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
DPMM FC julang Piala FA Brunei 2025
19/05/2025

 


DPMM FC muncul juara Piala FA Brunei 2025 setelah berjaya menewaskan Indera SC dengan keputusan 1 - 0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Berangkat menyaksikan perlawanan dan seterusnya mengurniakan penyampaian cenderamata, pingat dan piala utama kepada para pemenang, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman dan anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.

Juga berangkat dan seterusnya menerima piala utama bersama ketua pasukan DPMM FC, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim.

Gol tunggal bagi DPMM FC dijaringkan oleh Luis Matias Hernandez.

Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun gagal untuk menjaringkan sebarang gol.

Pada separuh masa kedua pula menyaksikan DPMM FC dengan bijak mengawal permainan dan akhirnya menjaringkan gol pada minit ke-73 menerusi pemain asal Sepanyol, Luis Matias Hernandez yang berjaya menanduk dengan tajam sepakan sudut yang diambil oleh Kenshin Uneo.

Manakala pada minit ke-86 pula, Kashim Elisha Oluwasegun hampir sahaja menyamakan jaringan bagi Indera SC namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang DPMM FC, Muhammad Jefri Syafiq Ishak.

Keputusan perlawanan kekal 1 - 0 sehingga wasit meniupkan wisel penamat.

Kekalahan Indera SC tersebut sekali gus menjadikan mereka menduduki tempat kedua, sementara MS ABDB menduduki tempat ketiga.

Manakala, Anugerah Penjaring Terbanyak dan Anugerah Pemain Terbaik (Man of the Match) bagi Piala FA Brunei 2025 diberikan kepada pemain DPMM FC, Luis Matias Hernandez.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto